Hargai Isteri Anda, Stress Hingga Pembuluh Darah Pecah Isteri Pergi Buat Selamanya.

Asam garam berumah tangga ada masa kita stress dengan pelbagai perkara yang menghimpit dek kerana keadaan menekan, namun itu bukan alasan anda mengabaikan rumah tangga anda. Lebih-lebih lagi mengabaikan perasaan isteri anda sehingga dia merasa tidak dihargai dan terbeban.

Komunikasi antara pasangan amat penting untuk menghasilkan rumahtangga yang harmoni dan bahagia. Namun, kita faham ada ketika pelbagai masalah datang menghimpit. Suami perlu bijak dalam menguruskan institusi keluarga dan bersikap ambil tahu.

Isteri pula, perlu memberitahu suami jika anda mempunyai masalah samada dari aspek kekeluarga, kerjaya mahupun kewangan. Anda tidak perlu simpan dan pendam semuanya sendiri.

Suami dan isteri merupakan kawan baik didalam rumahtangga untuk memastikan segala masalah diselesaikan dengan baik dan mengambil kira kepentingan kedua belah pihak.

Isteri pula jangan terlalu ikutkan emosi, anda perlu bijak mengawal emosi supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan pada kesihatan anda. Jika anda terlalu penat, rehatlah. Tinggalkan seketika bebenan anda dan ambil masa untuk diri anda sendiri.

Ini cerita mengenai pemergian isterinya ketika sedang tidur. Selepas doktor mengeluarkan kenyataan, pembuluh darah isterinya pecah. Oleh kerana isterinya tidak mempunyai segala penyakit doktor mengesahkan ia berkemungkinan kerana isterinya terlalu stress sehingga perkara ini telah berlaku.

Bayangkan, suami tidak sempat bertanya adakah isterinya dalam keadaan baik. Semuanya telah terlambat, sesalan menebal dalam diri suami yang tidak perasan tentang penyakit stress sehingga isterinya pergi buat selamanya.

Kisah ini diceritakan kembali oleh Firdaus Mokhtar yang berkongsi cerita ini supaya ia boleh dijadikan teladan dan pengajaran kepada semua pasangan.

Punca Isterinya Pergi Kerana Stress Dalam Rumahtangga

Berbeza dengan klien yang lain, klien kali ini mulakan sesi psikoterapi dengan soalan ke isteri saya.

Puan dah kahwin?” Dia bertanya.

Klien ini seorang lelaki berusia 45 tahun. Seorang usahawan. Waktu sesi pertama, datang dengan badan yang agak gempal. Dalam rekod perubatan tulis 100kg juga beratnya.

Dia kematian isteri sebulan sebelum dirujuk ke hospital. Dia kerap sakit perut dan doktor diagnos sebagai gastrik. Kerap sakit kepala juga. Migrain.

2 simptom yang sebenarnya menunjukkan pesakit mengalami stress. Jadi doktor terus rujuk unit Psikologi dan kaunseling hospital. Di sini dia bertemu dengan isteri saya.

Oh saya dah kahwin,” jawab isteri saya.

Klien tadi lantas bertanya lagi, “stress kan berkahwin?”

Isteri saya cuma jawab, “biasalah. Macam tu lah hidup rumahtangga.” Cuba memberi persamaan dengan dia. Lepas itu baru klien tadi buka cerita.

Dia dengan arwah isteri dah berkahwin selama 19 tahun. Dikurniakan 4 orang anak. Yang sulong berusia 17 tahun dan yang paling kecil berumur 10 tahun.

Selama hidup bersama arwah isteri dia tak ada rekod sakit. Pada mata dia, sihat sahaja. Cuma pada 1 malam, isteri dia meninggal dalam tidur. Esoknya baru klien tadi sedar, lepas tengok ada darah keluar daripada telinga dan hidung arwah.

Sebabkan tak ada rekod sakit, post mortem adalah 1 kemestian untuk dapatkan punca kematian.

Keputusan yang keluar adalah pembuluh darah pecah. Doktor kata salah satu sebabnya adalah stress. Sebab dia tak ada sakit lain.

Maka, klien tadi ini buntu. Dia marah dengan diri sendiri.

Kenapa dia tak bagitahu dia stress? Kenapa saya sendiri tak nampak pun dia stress?” Ini dia ulang entah berapa kali. Menangis dia sepanjang sesi. Air mata yang tak berhenti. Sugul sungguh muka dia.

Dia salahkan diri. Rasa dia suami yang tak pandai menjaga isteri, tak ambil tahu tentang derita isteri. Sampai isteri tak cerita apa-apa dekat dia.

Dia rasa dia tak ambil peduli tentang isteri dia. Rasa isteri sihat sahaja tanpa dia tahu sebenarnya isteri sedang mengalami tekanan.

Akhirnya dia hukum diri sendiri. Tak makan langsung. Minum air sahaja. Itu pun bila dia rasa dia perlu. Tak pergi kerja, tak masuk pejabat. Perniagaan dia tinggal terus.

Yang buatkan isteri saya lebih terkesan, masa sesi kedua, 3 bulan lepas perjumpaan pertama tu, dia hadir dengan perubahan fizikal yang ketara. Berat dia cuma 60kg, hilang 40kg daripada sebelumnya.

Dan untuk sesi kedua ini dia masih lagi bercerita dengan air mata. Perasaan bersalah yang tak hilang dari benak hati dia.

Kawan-kawan sekalian;

Ini yang banyak berlaku dalam rumahtangga kita. Tiada komunikasi. Masing-masing hidup dengan sandaran tanggapan sendiri.

Sihat je isteri aku tu. Tak ada masalah apa pun.

Suami aku tu ok. Balik rumah gelak, buat kelakar, layan anak-anak pun ok.”

Itu yang kita sangka. Tanpa kita sekali sekala bertanya kalau-kalau dia ada masalah yang ingin dia kongsi.

Isteri saya selalu pesan begini;

Sesekali kita duduk, tanyalah keadaan pasangan. Tentang kerja, tentang kawan-kawan dia dan tentang kewangan dia.

Untuk para isteri pula, luahkanlah bila ada perasaan negatif. Luahkan dengan cara baik. Sekadar berkongsi untuk elakkan perasaan terpendam dan boleh jadi depresi.”

Begitulah sepatutnya. Saling berkongsi cerita. Jadi telinga untuk setiap suara daripada pasangan. Suara hati dia. Itu juga salah satu untuk kita hargai pasangan kita.

Sementara masih ada umur. Sementara dia masih lagi boleh berkata-kata. Kita berkongsilah.

Sekian.

Firdaus Mokhtar,
Sendiri pun selalu tak tanya ke isteri. Allahu

Hargailah Pasangan Kita

Jangan kejarkan harta dunia sehingga kita tidak sedar apa perubahan pada pasangan kita. Hargailah mereka ketika mereka masih ada supaya kita tidak menyesal dikemudian hari. Luangkanlah masa yang berkualiti untuk pasangan anda merasa diri mereka dihargai.

Ramai pasangan kita tidak mahu harta benda, mereka hanya mahu sedikit masa diluangkan bersama supaya mereka berasa kita sentiasa berada dibelakang pasangan kita dalam apa jua keadaan.

Hargailah pasangan anda, nikmatilah hidup yang sihat dari segi kesihatan, minda dan kerohanian pasangan masing-masing. Buanglah ego anda jika ia salah satu perkara yang menghalang anda lebih menghargai pasangan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *