6 Sebab Ibu Menyusu Cepat Letih Di Bulan Ramadhan, Boleh Tag En. Suami

Ramai wanita diluar sana berpuasa dan dalam masa yang sama turut berpuasa. Bagi ibu yang pertama kali menyusu badan ketika berpuasa pasti agak sukar untuk menyesuaikan diri pada awalnya.

Tugas ibu menyusu badan kepada bayi bukan satu tugas yang mudah apatah lagi mereka ini perlu berpuasa. Pastinya agak lapar dan penat kerana berkongsi nutrisi dengan bayi.

Untuk suami anda perlu lebih prihatin kerana ibu akan cepat lapar dan letih menyusu ketika bulan puasa. Tiada istilah mengada-ngada kerana seperti yang kita ketahui memang tugas menyusu bukan satu tugas yang mudah.

6 SEBAB IBU MENYUSU CEPAT LETIH DI BULAN RAMADHAN

1. IBU AKAN BERASA HAUS YANG LUARBIASA

Jika anda perasan, setiap kali bayi menghisap puting, kita akan terasa haus. Kadangkala masa mengepam pun akan rasa haus.

Hausnya bukan dibuat-buat, rasa kering betul tekak dan bibir. Bukannya rasa teringin nak milo ais, kathira, atau apa-apa minuman yang fancy di bazar Ramadhan, cuma haus nak minum air kosong.

Kajian telah mendapati bahawa proses penyusuan badan mungkin akan menyebabkan pembebasan hormon oksitoksin yang menstimulasikan respon haus badan sistem saraf tunjang.

Disamping itu, tubuh ibu menyusu juga akan mengantisipasi rasa haus ketika setiap kali menyusu disebabkan oleh kehilangan cecair dalam badan bagi mengekalkan homeostasis.

2. IBU PERLU BEKERJA LEBIH UNTUK MENGHASILKAN SUSU

Kajian oleh BabyCenter, kebanyakan ibu menyusu akan berasa extra lapar kerana tubuh anda perlu ‘bekerja’ sepanjang masa untuk menghasilkan susu yang cukup bagi keperluan bayi.

Menurut mereka lagi, rata-rata ibu menyusu akan menghasilkan 24-28 ounce susu setiap hari, iaitu dengan menggunakan sekitar 500 kalori setiap hari.

Sebahagian kalori ini dibakar daripada tisu lemak yang tersimpan dalam tubuh, manakala sebahagian lagi dibakar daripada makanan yang diambil setiap hari.

3. IBU JUGA AKAN LEBIH CEPAT LAPAR

Ibu akan lebih cepat lapar atau hunger pangs yang sering berlaku setiap kali isteri anda menyusukan bayi sebenarnya merupakan respon tubuh untuk memberi isyarat supaya ibu-ibu makan lebih banyak.

Ini kerana, ibu menyusu memerlukan sekitar 1800 hingga 2200 kalori setiap hari bagi memastikan bekalan susu kekal banyak. Disebabkan itu, ibu memerlukan sekitar 300 hingga 500 kalori lebih banyak semasa menyusukan bayi berbanding biasa.

4. IBU JUGA BERKEMUNGKINAN PENAT LAYAN KARENAH BAYI & ANAK KECIL

Jika ibu ini menyusukan bayi, dah sah-sahlah ada bayi untuk dijaga. Siapa kata jaga bayi tak penat? Walaupun ibu menyusu nampak ‘santai’ menyusukan bayi sambil berbaring atau tertidur, tak ramai yang memahami keletihan yang dilalui untuk menjaganya – tukar lampin, mandikan bayi, menidurkannya, mendukungnya hampir setiap masa dan menenangkannya.

Bukan itu sahaja, belum kira kalau ada anak-anak lain yang perlu dilayan dan kerja-kerja rumah yang perlu dilakukan. Memang tak menang tangan! Jadi, Encik Suami kenalah lebih prihatin.

 

5. PROSES MENGEPAM SUSU JUGA MEMENATKAN

Selain itu, proses mengepam juga bukanlah suatu tugas yang mudah sekalipun bayi tidak menghisap susu secara direct. Nak mengepam pun bukannya sekali tapi setiap 3-4 jam sekali termasuklah waktu tengah malam ketika orang lain khusyuk diulit mimpi.

Ibu perlu menyusung kemana-mana beg pengepam susunya dan pelbagai peralatan yang perlu disediakan untuk mengepam dan menyimpan susu. Lepas tu pula semua alatan perlu dicuci setiap kali selepas menggunakannya. Penat juga tau!

Malah semua rutin ini memerlukan disiplin serta fokus yang tinggi untuk dilakukan secara konsisten selama 2 tahun. Ia semua demi memastikan bekalan susu sentiasa ada dan tidak terputus.

6. WAKTU SAHUR & BERBUKA ANTARA SEMPAT TAK SEMPAT

Apabila seorang ibu ada anak kecil, dialah yang paling sibuk menyediakan makanan untuk sahur dan berbuka, tapi dia jugalah yang makan paling ala kadar.

Seringkali kita lihat, baru nak suap ke mulut, dah dengar bayi merengek. Terpaksalah makan secepat mungkin. Kalau bayi terjaga atau menangis, kenalah tangguhkan atau layan keperluan mereka dulu.

Jika ke kedai makan, ada ibu yang makan sambil dukung bayi, meriba bayi yang tengah tidur, dan macam-macam lagi gaya. Kalau setiap hari begini, tak hairanlah ibu menyusu ini akan berasa lebih penat berbanding biasa.

SUAMI PERLU ADA UNTUK MEMBANTU MERINGANKAN BEBAN ISTERI

Wahai suami, anda perlu lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh isteri anda yang berpuasa dalam keadaan menyusukan bayi. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan oleh sebab itu amatlah wajar untuk anda turut meringankan beban mereka.

Sekali sekala boleh beli makanan di luar atau tolong buat kerja-kerja rumah dan melayan anak agar isteri tidak terlalu letih.

Selain itu, makanlah apa-apa jenis superfood atau suplemen semasa bersahur, tapi kalau 24 jam isteri anda sibuk dan tak berhenti bekerja, dah tentulah mereka akan tetap penat.

Bukan mudah tugas seorang isteri dalam memastikan si anak mendapat nutrisi yang seimbang dan ssi suami mendapat layanan yang sempurna. Kepayahan dan kesukaran inilah ada hikmahnya kenapa Allah memberi keringanan kepada golongan ibu menyusu untuk tidak berpuasa sekiranya tidak mampu.

Buat ibu menyusu, jagalah kesihatan diri dan jika anda terlalu penat tinggalkan semua kerja rumah dan berehatlah kerana anda perlu mempunyai masa untuk berehat samada rehatkan badan dan rehatkan minda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *